Apa itu Anemia
Anemia ketika mengandung terjadi apabila seseorang wanita itu mempunyai paras hemoglobin yang rendah semasa mengandung.Anemia berlaku apabila jumlah sel-sel darah merah di dalam darah berkurangan dari biasa. Sebagai seorang wanita mengandung, adalah penting bagi anda untuk mendapatkan ujian darah bagi menentukan paras hemoglobinnya semasa lawatan pertama pemeriksaan kandungan (lawatan antenatal). Walaupun anda tidak mengalami masalah anemia pada lawatan pertama, anda masih berpotensi untuk mengalami keadaan ini kemudiannya dalam tempoh kehamilan tersebut.
Terdapat banyak jenis Anemia. Jika anda merasakan bahawa anda mengalami masalah ini, berjumpalah doktor.
Kebanyakkan Anemia yang berlaku semasa mengandung adalah berkaitan dengan kekurangan ferum dan juga asid folik.
Dalam kebanyakan kes, perkara-perkara berikut boleh menyebabkan masalah Anemia :
-Kurang pengambilan ferum dan asid folik di dalam diet harian
-Mengalami kehilangan darah yang berpunca dari pendarahan gastrousus, buasir, ataupun darah haid yang terlalu banyak.
-Proses pencernaan mungkin mengalami sedikit perubahan semasa hamil di mana ini akan menyebabkan berlakunya Anemia
Walaupun jumlah pengambilan ferum dan juga asid folik mencukupi. Ini kerana sebahagian daripada ferum dan juga asid folik itu diagihkan kepada janin dalam kandungan.
Talasemia - sejenis penyakit darah keturunan yang banyak berlaku di kawasan Asia, Mediterranean dan juga Afrika.
Faktor - faktor risiko
Berikut adalah beberapa faktor yang dapat meningkatkan risiko untuk mendapat Anemia :
{mosimage}Wanita yang mengandung yang tidak dapat makan dengan baik kerana masalah loya atau muntah.
-Wanita yang mengandung kembar
-Sela masa kehamilan yang terlalu rapat.
-Pemakanan yang tidak baik - kekurangan pelbagai jenis vitamin. Wanita yang tidak mengambil ferum dengan cukup adalah lebih mudah mendapat Anemia.
-Merokok dan meminum alkohol berlebihan
-Sebarang ketidakaturan atau masalah yang boleh mengurangkan penyerapan zat makanan
-Penggunaan ubat-ubat antikonvulsi.
Tanda - tanda dan gejala
Gejala yang paling biasa berlaku adalah :
-Merasa letih, lemah anggota dan sering pengsan.
-Kelihatan pucat
-Kesukaran bernafas/sesak nafas.
Gejala berikut juga boleh berlaku :
-Loya
-Mengalami debaran (palpitasi) - dengupan jantung yang cepat
-Sakit kepala dan pening
-Kerengsaan dan juga keradangan pada lidah
-Mudah lupa
Berikut merupakan gejala yang jarang berlaku :
-Mengalami Jaundis ataupun kekuningan, terutama pada mata dan kulit
-Sakit di bahagian perut atau abdomen
Komplikasi
Anemia kekurangan ferum yang ringan tidak mendatangkan masalah terutamanya kepada bayi. Masalah yang serius hanya akan berlaku apabila keadaan Anemia tersebut menjadi lebih teruk.
Kajian menunjukkan bahawa keadaan Anemia yang teruk boleh mengaruh kelahiran pramatang, mengurangkan bekalan oksigen kepada bayi dan juga menyebabkan tumbesaran bayi terbantut.Ia boleh meningkatkan tekanan darah tinggi atau Praeklampsia di kalangan ibu. Praeklampsia merupakan satu keadaan di mana tekanan darah meningkat semasa mengandung dan boleh mendatangkan komplikasi yang buruk kepada ibu dan juga janin sekiranya tidak dirawat.Lebih mudah untuk mendapat jangkitan semasa mengandung dan selepas bersalin.
Ujian - ujian
Untuk mendapatkan diagnosis, pemeriksaan berikut perlu dijalankan :
Sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal oleh doktor.
Ujian darah di makmal seperti ujian paras hemoglobin, ferum, hematokrit dan juga paras asid folik. Ini adalah penting untuk mengesan sebarang kekurangan ferum dan juga asid folik.
Rawatan farmakologi
Di dalam kes anemia, rawatan yang selalu diberi oleh doktor adalah tambahan asid folik dan ferum. Ambillah ferum tambahan 1 jam sebelum makan atau waktu di antara 2 waktu makan utama untuk penyerapan yang lebih baik atau pun dua kali sehari. Walau bagaimanapun, terlalu kerap mengambil ferum boleh menyebabkan sembelit. Jadi, untuk mengelakkan masalah sembelit, ambil lebih banyak serat dan lebihkan meminum cecair.Rawatan mungkin melibatkan pengambilan diet yang kaya dengan ferum, asid folik dan juga vitamin. Rehat yang cukup adalah penting. Asid folik adalah sejenis vitamin yang boleh didapati di dalam banyak jenis makanan dan multivitamin tambahan. Asid folik adalah penting untuk mengelak kejadian Anemia dan kecacatan kelahiran. Makanan yang kaya dengan asid folik termasuklah sayuran berdaun hijau, jus dan buah-buahan sitrus dan juga kekacang. Pengambilan multivitamin tambahan juga adalah perlu.
Pemantauan
Pemeriksaan kandungan yang berkala akan dapat memantau paras hemoglobin anda untuk sepanjang tempoh kehamilan.
Prognosis
Sekiranya masalah ini dikesan awal dan dirawat dengan sempurna, prognosis untuk anda dan anak dalam kandungan adalah baik. Dengan kata lain keselamatan anda dan janin adalah terpelihara. Semasa hamil, tubuh ibu akan sentiasa mempastikan yang bayi di dalam kandungan akan mendapat bekalan ferum yang cukup berbanding dengan ibu itu sendiri. Oleh itu keperluan untuk bayi sentiasa ada.
Anemia biasanya mudah dirawat dengan pengambilan ferum dan juga asid folik tambahan yang cukup.
Tetapi sekiranya keadaan anemia itu dibiarkan tidak dirawat, kesan buruk akan timbul pada ibu dan juga bayi dalam kandungan dan juga untuk kehamilan-kehamilan yang mendatang.
Pencegahan
Pelbagai langkah boleh diambil untuk mengelakkan masalah kekurangan ferum:
Kebanyakkan ibu mengandung biasanya diberikan ferum tambahan bagi mengelak dari berlakunya masalah kurang darah.
Makan makanan yang kaya dengan ferum seperti hati, sayur bayam dan juga buah-buahan kering untuk menambahkan paras ferum dalam darah.
Makan makanan yang mengandungi asid folik seperti wheat germ, kekacang, mentega kacang, cendawan dan juga hati.
Banyak memakan makanan yang kaya dengan vitamin C seperti buah-buahan, ulam, sayur-sayuran dan juga jus oren. Ia akan meningkatkan kadar penyerapan ferum.
Pastikan anda mengambil vitamin dan juga zat mineral tambahan terutamanya asid folik.
Elakkan meminum kopi atau teh pada waktu makan dan ketika mengambil vitamin tambahan.
Sumber: Anemia Semasa Kehamilan, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, infosihat.gov.my (ratuhati.com)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan